Air tangan saya ni, saya jadikan wallpaper setiap desktop yang ada di opis. Bagi meriah sikit
Tinggal beberapa hari untuk menyudahkan ibadah berpuasa, kalau sebelum ini menjalani ibadah puasa di kelilingi kawan-kawan. Kali ini sepanjang Ramadhan bersama abang saya, bersahur, berbuka, berterawikh di surau pun bersamanya. Setakat ini persiapan untuk Hari Raya untuk diri sendiri sudah lengkap, Sabtu lalu adalah 'shoping' terakhir untuk melengkapakan keperluan. Mencari sepasang baju Melayu beserta sampin. Lain warna yang di fikirkan sejak awal untuk di beli, lain pula warna yang di beli bila menjejak kaki di Jalan TAR, meredah lautan manusia yang juga mencari 'bekalan' hari raya seperti saya.
Meriah menjelang raya masih bertahan sehingga kini, ibu-bapa, anak2, tua muda masih 'teruja' meraikan kedatangan Syawal dengan pelbagai persiapan dari kuih muih, langsir, kemasan rumah dan pakaian baru adalah paling 'wajib' di dahulukan. Itu meriah menjelang raya, tetapi meriah semasa hari raya saya fikir sudah mula pudar. Sukar untuk di gambarkan dengan jelas, di terangkan secara terperinci, apa yang 'suram' Hari Raya kini. Mungkin ada yang beralasan saya bukan lagi kanak-kanak lagi seperti dahulu, jadi keterujaan dan rasa meriah itu sudah kurang.
Tetapi jika saya membayangkan diri saya sebagai kanak-kanak pun, saya masih terasa lopong-lopong kesuraman hari raya kini jika di bandingkan zaman saya betul-betul kanak-kanak dulu. Salah satu mungkin kerana telivisyen. Pelbagai rancangan menarik yang di siarkan semenjak malam raya hinggalah raya ke enam misalnya menjadikan kanak-kanak hatta yang tua bangka ini pun lebih suka melekat di depan telivisyen, rasa berat nak angkat punggung kecuali iklan. Terasa rugi kalau keluar pergi menziarahi jiran tetangga dan sanak saudara. Jadi lenganglah jalan-jalan dari kelibat manusia berwarna-warni dengan baju raya.
Perkembangan teknologi seperti henset pun membuatkan kita lebih 'jimat tenaga'. Tak perlu menyusun langkah ke rumah kawan atau berbelit tangan menulis berkajang-kajang kad hari raya. Cukup sekadar SMS , MMS, panggilan dan ber3G sahaja. Mudah bukan?. Budaya menziarahi juga bukan lagi keutamaan anak muda, lebih seronok pada hari raya berkumpul ramai-ramai di pusat beli belah, menonton wayang dan melepak di mana-mana port yang sesuai dengan jiwa mereka sampaila ke dinihari. Jadilah ia hari raya yang statik.
Sekadar imbauan kenangan dahulu, Budak kampung tiada banyak duit nak beli mercun, jadi kami gantikan dengan dentuman meriam tanah dan buluh. Kongsi duit 20 sen seorang beli sepeket kabaid, boleh main dengan puas sampai malam. Budak kampung tak banyak duit nak beli pistol 'polis' dengan pelurunya, jadi kami buat pistol berpelurukan mancis api. Peluru berapi yang di lepaskan sebaik picu di tekan begitu 'membakar' semangat semasa bermain polis sentri. Itulah kreatifnya kana-kanak dahulu yang menjadikan salah satu sebab raya itu meriah di kampung berbanding di bandar,. Tapi sekarang hari raya di kampung sudah kurang meriah Syawal itu, di bandar apatah lagi. Kemeriahan yang semakin hilang kerana di renggut oleh tangan kita sendiri.
Rabu malam InsyaAllah mula bertolak pulang ke kampung halaman. Doa saya kepada diri sendiri dan pembaca blog ini selamat sampai ke destinasi yang kita ingin tujui. Maaf Zahir dan Batin

0 comments:
Post a Comment