Jumaat baru-baru ini saya menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara. Perkara yang saya lihat di sana sebelum dan selepas menunaikan solat membuatkan saya terfikir beberapa persoalan mengenai golongan ini. Golongan peminta sedekah dan pemungut derma. Itu yang saya maksudkan. Tetapi tidak bermaksud ingin menghina golongan, mungkin ada sebab mereka jadi beginiCerita dahulu tentang peminta sedekah. Saya fikir golongan ini merupakan kumpulan pemalas. Saya anggap mereka ini hanya pandai memanipulasi sifat belas kasihan dan simpati manusia untuk mendapatkan duit dengan cara mudah, menadah tangan sahaja. Saya tidak anggap mereka golongan OKU yang menjual tisu dan bermain muzik di jalanan sebagai peminta sedekah. Bagi saya mereka bekerja, menjual sesuatu untuk mendapatkan rezeki. Tapi sang peminta sedekah, hanya mempergunakan kecacatan pada dirinya untuk mengemis simpati.
Paling saya geram bila yang meminta-minta itu sempurna anggota badannya. Boleh bekerja, paling kurang boleh ambil upah menjaga tandas ataupun mampu untuk mengutip barang yang boleh di kitar semula untuk di jual. Ada seorang tua ini semasa saya pergi ke Masjid dia tidak ada pun di tepi laluan itu, bila balik ada pulak. Fizikalnya sempurna, dengan muka seposen duduk mencankung menadah tangan meminta duit. Kalau alasannya sudah tua tidak mampu bekerja berat, buatla kerja ringan seperti menjual tisu getus hati saya. Arwah Tokwan saya hingga ke akhir usianya lewat 70an masih mampu ke kebun menoreh getah. Itu kerja berat.
Saya mula berfikir, mungkin sebelum solat Jumaat dia meminta di laluan lain, selepas solat bertukar lokasi pula. Kalau benar telahan saya, maknanya mungkin dia datang ke Masjid bukanlah ingin menunaikan solat Jumaat sebagi niat utamanya, tapi...(anda boleh faham maksud saya). Bukan orang tua ini sahaja, ramai lagi peminta sedekah yang antaranya bermodalkan buta mata yang wujud secara tiba-tiba di laluan itu. Usah gunakan alasan buta, tiada tangan, kudung kaki untuk semudah itu mencari duit dengan meminta-minta. Seperti saya katakan mereka ini sebenarnya masih mampu untuk jual barangan yang mudah-mudah. Mungkin golongan ini memang 'suka' meminta-minta sampai ke mati ataupun di pergunakan oleh pihak lain untuk mencari keuntungan mudah.
Perihal pemungut derma pun sama juga. Saiz dan bentuknya pelbagai, dari tong biskut hinggalah tupperware besar. Tujuan dan label di tabung juga berbeza dari untuk pembinaan rumah anak yatim, surau, masjid hatta yang melibatkan Palestin. Saya pun ragu-ragu adakah benar sumbangan yang jemaah masukkan ke dalam tabung itu sampai ke 'tempatnya' ataupun label yang terpapar di tabung itu hanya label 'KOSONG'! Sekali lagi memanipulasi sikap prihatin dan simpati untuk kepentingan diri.
Pemungut derma ini pelbagai modus operandinya, dari yang bermodalkan tabung, sijil dan resit sehinggalah kepada menjual minyak angin ataupun kalendar. Bukan sahaja terdiri dari orang tua, kanak-kanak pun ada. Lokasinya pelbagai seperti masjid, depan bank, kedai makan ataupun stesen minyak.
Bukanlah niat untuk menghalang pembaca menghulurkan sumbangan kepada peminta sedekah dan pemungut derma. Cuma untuk kita berhati-hati agar golongan ini tidak mempergunakan kita untuk kepentingan diri atau keuntungan mudah buat pihak tertentu. Islam menggalakkan umatnya saling bantu membantu antara satu sama lain terutama mereka yang memerlukan. Tetapi Islam juga tidak mengajar umatnya untuk meminta-minta melainkan BERUSAHA untuk mencari rezeki menggunakan cara yang HALAL.
0 comments:
Post a Comment