Tuesday, April 20, 2010

Yang faham, fahamlah..yang tak faham?

Blog Faisal Tehrani adalah salah satu blog yang saya suka kunjungi, sebab itu saya letakkan link blognya di blog saya. Suka membaca posting di blognya yang berkaitan dengan isu semasa yang di kupas oleh beliau dengan gaya penulisan yang menarik, sinikal, humor, penuh tersirat dan tajam. Sesiapa yang mengikuti rapat perkembangan di Hulu Selangor kini (peminat politik) pasti boleh memahami posting ini, yang tak dapat nak faham?..saya tak leh tolong sebab anda tak ikut perkembangan semasa

Cerpen Mikro 1: Main Undi2

Di suatu taman permainan, pada satu hari yang tidak begitu terik panasnya, tidak jauh dari sebuah taman perumahan berdekatan bandar Kuala Kubu Baru; tiga orang kanak-kanak sedang bermain.

Mereka sedang bermain undi-undi. Siapa yang layak menjadi ketua taman permainan.


Seorang kanak-kanak perempuan, Zahra, bertudung dan sungguh comel sedang memerhatikan dengan tekun akan dua orang teman sepermainannya. Kanak-kanak lelaki bernama Maniam dan Jahid sedang bertengkar tentang sesuatu.

"Kita main undi-undi dan aku harus menang. Kita kan Satu Malaysia, kali ini aku mesti menang." Tegas Maniam dengan mata terjegil. "Aku yang mesti menang. Aku memang budak sini. Kau baru pindah je."

"Aku lagi layak menang. Aku pun Melayu, jadi aku mesti menang." Balas Jahid acuh tak acuh.

Maniam mulai marah-marah, "Kau tak boleh menang. Bapak aku kata, bapak kau suka minum todi. Melayu mana boleh minum todi."

Jahid yang mulai marah diacum segera menjawab, "Bapak aku kata, bapak kau gemar minum samsu. Dia beli di Kuala Kubu Baru."

Maniam semakin hangat hati, "Bapak aku kata, bapak kau Yahudi."

Jahid cuba mencerna perkataan 'yahudi'. Agak-agaknya apa itu 'yahudi'? Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk ikut sama menyakitkan hati, "Bapak kau pun Yahudi juga."

Kedua-duanya kemudian memandang Zahra.

"Kau diam je. Cepat, kau nak undi siapa?" Soal Maniam mengharap perhatian Zahra.

Jahid lekas mencelah, "Dia Melayu, tentu dia nak undi aku. Kalau kau undi aku, kau boleh main jongkat-jongkit bila-bila kau mahu."

Zahra dengan sopan memberi jawapan, "Bapak aku kata. Dua-dua tidak boleh percaya. Dua-dua pun Yahudi. Seorang terhegeh-hegeh nak jilat bontot Hillary. Seorang lagi sibuk nak jilat bontot Obama."

Maniam terkesima, "Err...ehh siapa Hillary? Siapa Obama? Dia budak tadika mana?"

Jahid terangguk-angguk di sisi Maniam, juga tidak mengerti.

Zahra buat
muka tak kuasa. Dia beredar meninggalkan taman permainan tersebut.

*
Jilat bontot adalah sejenis simpulan bahasa Melayu.

Cerpen Mikro 2: Kaki Botol

Tok Haji tak berapa kenal dia. Tok Haji ada dengar macam-macam. Tapi Tok Haji buat tak endah. Bukan apa, Tok Haji sudah hampir pekak. Mesyuarat masjid pun Tok Haji jarang datang. Jauh. Dah tua-tua begini, lenguhlah nak berjalan jauh. Tapi bila orang lantik Tok Haji jadi pengerusi masjid untuk lima tahun lagi, Tok Haji yang mula-mula macam segan nak terima, angguk-angguk juga setuju. Bolehlah Tok Haji makan laksa Janda Peah sekali-sekala lepas baca Yassin. Laksa janda sedap.

Orang kanan Tok Haji bisik kepada Tok Haji, calon penghulu kampung mereka itu bukannya kaki botol seperti yang orang lain dakwa. Tidak ada bukti mana boleh main percaya. Bahkan, kalau ada bukti sekali pun orang boleh minta tangguh dari kena bicara. Orang kanan Tok Haji bisik kepada Tok Haji, "Ini semua fitnah sebab ada orang nak jawatan Penghulu itu untuk dirinya sendiri. Kalau Tok Haji tak percaya, kita panggil dia untuk mengaku atau menafikan dakwaan itu sendiri."

Dia pun dipanggil dan depan Tok Haji dia pun mengaku kaki botol.

Tok Haji berkerut. Terkejut.

"Dah kerja saya kutip botol yang dibuang orang. Memanglah saya kaki botol. Kaki botol kicap, Tok Haji." Dia ketawa.

Tok Haji pun ikut ketawa. Malah lebih besar daripada dia tawanya. Mengekek-ngekek tawa Tok Haji.

Tok Haji yang pekak-pekak dan nyanyuk sikit-sikit itu pun cepat puas hati lalu mengeluarkan fatwa: 'Tak salah sokong kaki botol asalkan dia masih Islam. Itu urusan dia dengan Allah.'

Kemudian Tok Haji berlepas untuk menunaikan umrah. Tok Haji berjanji kepada semua, termasuk kepada dia - si kaki botol - yang Tok Haji akan berdoa depan Multazam, malah berdoa dalam tawaf supaya dia dapat jadi penghulu. Dan berdoa supaya Tok Haji akan dapat hidup, sekurang-kurangnya; lima tahun lagi.

Lama lima tahun tu. Banyak laksa Janda Peah dia boleh jamah.

0 comments:

Post a Comment