Thursday, March 11, 2010

Pergi Tak Kembali Lagi..Al Fatihah...

Dunia Islam khususnya bagi Sunni merasa kehilangan yang amat besar di atas pemergiaan Allahyarham Syeikhul Al Azhar, Dr.Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi. Dalam tradisi ilmu Islam terdapat pelbagai gelaran yang diberikan kepada ulamak seperti syeikh al-Islam, hujatul Islam, Imam al-Akbar dan lain-lain. Gelaran tersebut merupakan gelaran yang diberikan kepada mereka yang menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik terutama dalam bidang fikah.

Di Mesir, ulamak yang paling tinggi kedudukannya dikenali sebagai syeikh al-Azhar. Beliau berperanan untuk mengelola dan mengurus institusi al-Azhar. Al-Azhar yang dibina pada 359H/970M telah mempunyai 43 Syeikh al-Azhar. Mereka terdiri daripada 17 syeikh yang bermazhab Syafi’i, 16 syeikh bermazhab Hanafi, 9 syeikh bermazhab Maliki. Gelaran ini mula diperkenalkan pada abad 17M

Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan Syeikh al-Azhar sejak tahun 1996. Sebelum menjadi syeikh al-Azhar, beliau pernah menjadi Mufri Mesir, Dekan Kuliah dan mengajar di Kuliah Usuluddin. Beliau mendapat Ijazah kedoktoran daripada Universiti al-Azhar dalam bidang Tafsir dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa universiti di Iraq, Libya dan Arab Saudi. Beliau terkenal sebagai seorang yang alim dalam ilmu tafsir dan mempunyai Kitab “Tafsir al-Wasit” sebanyak 15 jilid. Beliau juga terkenal dengan kewarakan, bercakap dengan lembut dan mudah difahami.

Semasa era pentadbirannya, beliau sentiasa memberi perhatian kepada peningkatan dan penguasaan ilmu dalam kalangan mahasiswa Malaysia di al-Azhar. Beliau sering menyuarakan agar mahasiswa Malaysia bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan menguasai Bahasa Arab dengan baik. Anugerah Doktor Kehormat yang diberikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada tahun 2008 kepada Syeikh Muhamad Sayyid Tantawi merupakan pengiktirafan atas sumbangan beliau yang besar kepada mahasiswa Malaysia di al-Azhar dan dunia Islam. Penganugerahan ini juga akan mengeratkan hubungan al-Azhar dengan Malaysia terutama dalam bidang keilmuan.

Setiap yang hidup pasti akan menemui ajalnya. Barang tidak akan lewat atau cepat walaupun sesaat bila tiba masanya untuk 'pergi'..Al Fatihah...

Sheikhul Al-Azhar, Dr Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi (kiri) menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai pengiktirafan sumbangan dan jasa tokoh ilmuan Islam ulung itu dari Tunku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin, yang juga Canselor USIM

0 comments:

Post a Comment